CLICK PICTURE TO CLOSE IT


PENGENALAN
Kempen Beli Barangan Malaysia merupakan susulan daripada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 1998. Penjenamaan semula kempen ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Ia juga bagi mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang barang dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa dan dijual dengan harga yang berpatutan.

Untuk tujuan Kempen ini, barangan Malaysia diklasifikasikan sebagai "semua barang yang dibuat, dipasang dan dikeluarkan di Malaysia serta perkhidmatan yang ditawarkan di dalam negara ini". Konsep ini digunapakai kerana:

1.Ekonomi sesebuah negara akan dapat terus dijana dan distabilkan walaupun dalam kegawatan jika terdapat aliran wang dan perbelanjaan domestik dalamsesebuah negara;


2.Mewujudkan pertambahan permintaan domestik;

3.Memberi peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan; dan


4.Memastikan krisis ekonomi global tidak memberi kesan negatif yang mendalam kepada para peniaga dan pengguna.


OBJEKTIF

1.Mewujudkan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna untuk membeli barangan buatan Malaysia;


2.Menyedarkan para pengguna untuk membeli barangan buatan Malaysia yang tidak kurang kualiti berbanding barangan luar negara.


RASIONAL

1.Kualiti barangan Malaysia adalah setanding dengan barangan luar negara;

2.Dengan membeli barangan buatan Malaysia, pengguna bertindak bijak kerana:
◦Membeli barangan berkualiti dengan harga murah dan ini secara langsung dapat mengurangkan kos perbelanjaan.
◦Membantu merangsang kegiatan ekonomi domestik.


TAG LINE

1.Versi Bahasa Melayu : "Beli Barangan Malaysia, Pilihan Bijak"


2.Versi Bahasa Inggeris : "Buy Malaysia, Smart Choice"


Dalam usaha pihak Kementerian untuk membantu meningkatkan perdagangan dalam negeri, di bawah ini disediakan pautan ke laman web berikut:



KUASA PENGGUNA
"1 PENGGUNA, 1 SUARA"



"Kuasa Pengguna" ditakrifkan sebagai pengguna mampu mempengaruhi dan menentukan harga serta penawaran barangan dan perkhidmatan dalam pasaran yang kompleks. Melalui kuasa yang ada pada mereka, mereka boleh mencorakkan pola permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut. Pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewangan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya melalui peningkatan pengetahuan, memperkuatkan jati diri, mengetahui dan mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.
Kuasa Pengguna dapat diperlihatkan melalui :

• Pengguna menentukan pasaran
• Pengguna bersatu menuntut hak
• Sebulat suara dalam tindakan


‘1 Pengguna' bermaksud pengguna perlu bertindak secara bersepadu dalam satu masyarakat pengguna yang kuat dan membentuk ‘ satu pengguna' yang bergerak seiring secara efektif dan mewakili satu golongan yang kuat dan disegani. Pengguna juga mempunyai hak yang sama tanpa mengira latar belakang mereka dan hak ini perlu dihormati.


‘1 Suara' membawa maksud setiap pengguna perlu bertindak secara bersepadu untuk menegakkan amalan dan nilai kepenggunaan yang bersifat sejagat. Ini bermakna pengguna perlu bertindak sebagai satu entiti yang bermatlamat untuk mencapai suatu kehendak dan hak yang sama melalui penglibatan secara berkumpulan sama ada dalam organisasi-organisasi dan persatuan-persatuan.

Tanggungjawab Pengguna:

Kesedaran Mengkritik

Pengguna mestilah disedarkan supaya mengkritik tentang mutu dan nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan.

Penglibatan dan Tindakan

Pengguna harus sentiasa melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang menjamin kepentingan pengguna.

Tanggungjawab Sosial

Pengguna mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab sosial. Amalkan sikap mengambil berat tentang persekitaran dan membuat apa yang perlu jika ada yang tidak kena, walaupun diri anda tidak terlibat secara langsung.

Tanggungjawab Alam Semulajadi

Pengguna perlu mempunyai kesedaran yang tinggi atas keputusan pengguna mengenai alam sekitar yang mesti dimajukan secara harmoni.

Bersatu Padu

Tindakan yang paling berkesan bagi menghadapi sesuatu masalah ialah dengan semangat bekerjasama dan bersatu padu.



  • Asingkan bahan-bahan buangan sebelum membuangnya. Beri sokongan terhadap Kempen Kitar Semula.

  • Elakkan dari penggunaan racun perosak haiwan dan serangga yang mengandungi bahan kimia merbahaya.

  • Buat baja kompos sendiri.

  • Banyakkan penanaman pokok-pokok dan kurangkan penebangan pokok-pokok.

  • Banyakkan makan makanan segar dan kurangkan memakan makanan yang diproses.

  • Kurangkan meminum minuman dalam bungkusan.

  • Kurangkan makanan daging yang diproses seperti burger. Kurangkan makanan daging. Lebihkan sayur-sayuran.

  • Jangan menggunakan aerosol yang mengandungi klorofluorokarbon (CFCs).

  • Kurangkan penggunaan plastik dan kertas.

  • Bawa beg atau kereta sorong sendiri apabila membeli-belah. Minta pekedai memasukkan barangan yang anda beli di dalam beg anda, bukan dengan menggunakan beg plastik yang dibekalkan. Terangkan megapa anda berbuat demikian.

  • Beli barang-barang yang tidak mencemarkan alam sekitar.

  • Jangan beli barangan yang membahayakan kehidupan liar dan tumbuh-tumbuhan di bumi.

  • Bantulah menyelamatkan hutan rimba anda.

  • Cubalah penggunaan semula kertas di dalam pejabat. Atau guna kedua-dua mukasurat bagi kertas tersebut.

  • Buat fotokopi di kertas-kertas yang tidak digunakan.

  • Gunakan semula sampul surat terpakai untuk urusan dalam pejabat sendiri.

  • Anjurkan kempen kebersihan di kawasan anda.

  • Didik anak anda mengenai alam sekitar. Semai rasa kecintaan dan kesedaran terhadap alam sekitar kepada generasi muda.

  • Berjalan kaki atau berbasikal sekiranya boleh.

  • Gunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta.

  • Kurangkan penggunaan penghawa dingin di rumah. Lebihkan tingkap di rumah atau pejabat. Biar cahaya matahari masuk.

  • Padamkan lampu dan kipas sekiranya anda tidak menggunakannya.

  • Jangan biarkan paip terbuka. Paip terbuka akan membazir 9 liter air seminit.

  • Jangan bakar sampah sarap. Ini adalah salah di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978.

  • Buang dengan sempurna bahan-bahan merbahaya. Hubungi Majlis-majlis Tempatan bagi mendapatkan pandangan.

  • Jangan tumpahkan minyak, racun serangga, cat dan bahan-bahan toksik/beracun di dalam longkang atau sungai. Buangkan dengan sempurna.

  • Jangan biarkan peti sejuk yang tidak digunakan di halaman rumah. Hubungi majlis atau peniaga bahan buangan untuk mengambilnya.

  • Jangan gunakan kain lampin pakai buang (disposable napkins).

  • Beli sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam secara organik.

  • Gunakan peralatan elektrik yang dapat menjimatkan tenaga.

  • Tubuhkan Jawatankuasa Alam Sekitar di kawasan anda.

  • Sokong dan labur dalam aktiviti-aktiviti seperti program penggunaan semula dan berkebun. Penglibatan anda bermakna anda membantu sesuatu yang bermakna kepada komuniti, bumi, anak-anak dan masa depan.

  • Anjurkan jualan lambak dan sokong kewujudkan kedai barangan terpakai.

  • Beli barang dalam kuantiti yang besar.


Umat manusia bukan sahaja perlu memelihara alam sekitar atau persekitaran fizikal supaya dalam keadaan stabil dan hormati, tidak kurang penting juga bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia ialah memelihara keadaan yang harmoni, stabil dan saksama dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Kesemua ini memerlukan muafakat dan tindakan masyarakat tempatan dan antarabangsa yang berlandaskan kepada persefahaman akan saling bergantung di antara semua ahli masyarakat, serta perlunya berpegang kepada prinsip "menang-menang" dalam usaha pembangunan dalam segala aspek secara seimbang.

(Sumber Dari : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna )

  • Program dan aktiviti pendidikan dan kesedaran pengguna dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

  • Mendapat kerjasama daripada Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan (MGPN), Gerakan Pengguna Negeri (GPN), Gerakan Pengguna Daerah (GPD) dan Rakan Pengguna (RP).
    Program yang dianjurkan:
    a. Seminar
    b. Forum
    c. Konvensyen
    d. Ceramah
    e. Menerbitkan buletin, risalah, VCD, jurnal dan komik pengguna.

  • Pertandingan Kuiz Pengguna Antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan
    Pertandingan ini merupakan salah satu acara kempen tahunan KPDNKK yang bertujuan untuk menyemai nilai-nilai kepenggunaan yang baik dalam kalangan ganerasi muda yang seterusnya akan melahirkan warganegara yang bermaklumat, rasional dan bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

  • Objektif Pertandingan Kuiz Pengguna Antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan

    -Memberi dorongan dan galakan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah mendalami ilmu kepenggunaan;
    -Meningkatkan minat pelajar-pelajar untuk menyertai Kelab Pengguna Sekolah agar menjadi pengguna yang bestari dan rasional; dan
    -Memberi galakan serta kesedaran kepada orang ramai tentang isu-isu dan maklumat kepenggunaan.

  • Program "Kerjasama Pintar" Bersama NGO
    Tujuan utama program ini ialah untuk mewujudkan dan mempertingkatkan kerjasama dan "networking" di antara Kementerian dan Agensi-agensi Kerajaan, NGO-NGO kepenggunaan dan bukan kepenggunaan bagi menganjurkan program-program pendidikan dan kesedaran kepenggunaan. Kaedah perlaksanaanya adalah melalui seminar, bengkel, forum, majlis dialog dan pameran melibatkan golongan pelajar, guru, pegawai kerajaan, wartawan, HAWA, pemimpin-pemimpin masyarakat dan belia. Kerjasama ini bertujuan untuk memastikan bahawa program-program pendidikan dan kesedaran kepenggunaan dilaksanakan secara sistematik dan tersusun melibatkan kumpulan sasaran yang lebih meluas.

  • Sambutan Hari Pengguna Malaysia (HPM)
    Mulai tahun 2001 Kementerian telah menganjurkan Hari dan Minggu Pengguna Malaysia (HMPM) dan sambutan ini telah diteruskan dengan menggariskan objektif-objektif seperti berikut :-

    -Membolehkan Kementerian mengambil bahagian yang aktif dan memaparkan tanggungjawab Kerajaan terhadap perlindungan pengguna.
    -Memupuk kesedaran kepenggunaan yang positif dikalangan semua anggota masayarkat di negara ini.
    -Mewujudkan persefahaman dan kerjasama erat antara pengguna, peniaga, Kerajaan dan media massa dalam aspek konsumerisma yang boleh membantu Negara mencapai Wawasan 2020.
    Program dan Aktiviti :

    -Seminar/Forum Kepenggunaan
    -Ekspo dan pameran kepenggunaan
    -Karnival pengguna
    -Pidato kepenggunaan IPT
    -Malam Anugerah Media Pengguna


    Buletin Pengguna

    -Diterbitkan pada setiap bulan dengan kerjasama FOMCA
    -Bertujuan menyebarkan maklumat kepenggunaan kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini
    -Memuatkan artikel kepenggunaan berkaitan isu-isu utama pengguna, berita-berita Kementerian, panduan untuk pengguna, tips kpeda pengguna dan sebagainya.
    Komik Pengguna
    -Penerbitannya adalah bertujuan untuk mempelbagaikan kaedah penyebaran maklumat kepenggunaan kepada golongan masyarakat.
    Risalah dan VCD Kepenggunaan
    -Diterbit untuk digunakan semasa sesi program dan aktiviti pendidikan dan kesedaran pengguna dan pameran-pameran Bahagian.



    Rancangan TV 1 Konsumer @ Bernama TV

    -Rancangan menggunakan format bual bicara ini diterbitkan oleh pihak KPDNKK dengan kerjasama pihak Bernama TV (Saluran ASTRO 502). Rancangan ini disiarkan selama 1 jam iaitu pada hari Ahad bermula pada jam 9.00 malam sehingga 10.00 malam. Rancangan ini merupakan wadah untuk Kementerian mewar-warkan usaha-usaha dalam memperkasakan dan melindungi pengguna di samping menjadi forum untuk pengguna menyalurkan pendapat serta berkongsi maklumat.


    Kajian Profil Pengguna


-Dilaksana bagi mendapatkan gambaran berkaitan ciri-ciri (profil) pengguna, tabiat dan corak perbelanjaan dan kecenderungan para pengguna di Negara ini. Hasil kajian akan digunakan untuk membantu penggubalan dasar, strategi dan program dalam merangka Plan Induk Pengguna


Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan

Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri

Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran

Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah

Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

Tip 9: Beli secara pukal

Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.

Tip 10: Lakukan perbandingan harga dahulu

Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.

Tip 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama

Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.

Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.


Merancang kewangan bermula apabila seseorang itu merancang perbelanjaan harian. Hampir setiap kanak-kanak mendapat wang saku harian apabila pergi ke sekolah. Namun, tidak semua yang tahu bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut.


Berikut adalah beberapa tip yang dapat membantu pelajar dalam merancang kewangan mereka:


Rancang Perbelanjaan
- Apabila mendapat wang, rancanglah perbelanjaan. Jadikan tabiat menabung/menyimpan sebagai satu amalan kehidupan harian. Setiap kali, menerima wang saku, rekodkan jumlah yang diterima. Rekod segala perbelanjaan yang ingin dibuat supaya dapat melihat anggaran simpanan yang boleh dibuat. Elakkan dari berbelanja melebihi peruntukan kewangan yang diperolehi. Ini adalah untuk menggelakkan defesit atau pun anda berhutang.

Berbelanja Dengan Bijak
- Berbelanjalah wang anda dengan bijak. Beli hanya barang yang diperlukan sahaja.

- jangan meminjam wang daripada sesiapapun semata-mata kerana gagal mengawal perbelanjaan. Sebagai pelajar, elakkan daripada meminjam wang daripada rakan-rakan atau pun meminjamkan wang anda kepada rakan-rakan anda.

- Jangan berbohong kepada ibu-bapa semata-mata kerana ingin mendapatkan wang.

- Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuan ibu-bapa.


Pastikan Sentiasa Mempunyai Wang Di Tangan
- Elakkan berbelanja sehingga wang di tangan kehabisan. Ini adalah kerana wang perlu sentiasa berada di tangan untuk kegunaan pada bila-bila masa yang perlu.


Menyimpan Wang Di Tempat Yang Selamat
- Baki wang yang berada di tangan setelah berbelanja perlulah direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat. Bank merupakan institusi penerima simpanan yang selamat di samping dapat memberi pendapatan kepada wang yang disimpan. Minta bantuan ibu-bapa atau guru-guru untuk mengetahui cara untuk membuka akaun simpanan di bank.


Melabur Wang Untuk Mendapatkan Pulangan
- Jadikan wang sebagai alat untuk menghasilkan pendapatan dan memberi hasil pulangan. Jumlah wang disimpan di bank akan bertambah nilainya apabila bank memberi faedah kepada simpanan tersebut.




Info dari: Harian Metro (Isnin, 17 Ogos 2009, Sumber: Bank Negara Malaysia)


1.Berjalan, mengayuh basikal, menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta untuk ke destinasi yang ingin dituju.


2.Gunakan peralatan jimat elektrik dan berstatus "Energy Save".


3.Guna alat pendingin hawa pada suhu yang selesa dan sesuai.


4.Tutup suis lampu dan peralatan elektrik lain jika tidak digunakan.


5.Tutup semua suis dan cabut plug bagi barangan elektrik yang tidak digunakan, ini kerana walaupun peralatan tersebut telah ditutup (off), masih terdapat sedikit tenaga elektrik yang masih mengalir atau sedang digunakan.


6.Tanam pokok untuk memberikan teduhan daripada matahari. Ini boleh menjimatkan penggunaan alat hawa dingin atau kipas.


7.Amalkan sikap mengurangkan, menggunakan semula dan kitar semula barangan (Reduce, reuse, recycle).


8.Bergerak ke tempat kerja lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalulintas. Ini boleh menjimatkan penggunaan petrol.

Copyright 2010 Pengguna Lestari
Lunax Free Premium Blogger™ template by Introblogger